REPUBLIK CZECH 1 JERMAN 2

Pengendali Jerman, Joachim Low, mengakui pasukannya "bernasib baik" untuk meraih tiga mata selepas menang 2-1 ke atas Rebuplik Czech di Prague.


Pertahanan Bayern Munich, Mats Hummels, menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-88 bagi membantu juara dunia itu melakar kemenangan ketujuh saingan Kumpulan C, kelayakan Piala Dunia.

Jerman mendahului perlawanan hasil jaringan Timo Werner, namun dicabar hebat oleh pasukan tuan rumah selepas Vladimir Darida menyamakan kedudukan 12 minit sebelum perlawanan tamat.

Di sebalik tandukan Hummels memastikan Jerman memiliki kelebihan lima mata, Low tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya apabila sering digugat dengan serangan balas Rebuplik Czech.

"Kami tidak boleh bergembira dengan gaya permainan kami. Kami bernasib baik," kata Low.

"Rebuplik Czech bertahan dengan baik, tetapi kami juga menyukarkan diri kami sendiri."

Jaringan Hummels merupakan gol pertamanya untuk Jerman sejak menewaskan Perancis dalam saingan suku akhir Piala Dunia 2014.

Berpuas hati dengan impak jaringan kemenangannya, pemain berusia 28 tahun itu bersetuju dengan penilaian pasukannya.

"Semestinya jaringan itu telah membantu pasukan untuk menang tetapi kami mudah kehilangan bola dalam perlawanan ini," kata Hummels.

Jerman akan berdepan Norway di laman sendiri pada Isnin, kemudian bertemu Ireland Utara dan Azerbaijan pada Oktober.