LEGANES 1 REAL MADRID 3

Aksi cemerlang yang dipamerkan pemain tengah, Casemiro, membolehkan Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Leganes 3-1 dalam aksi LaLiga di Stadium Butarque, awal pagi tadi.


Kemenangan itu menyaksikan skuad Los Blancos mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut selepas diikat 2-2 oleh Levante pada 4 Februari lalu.

Turun dengan misi untuk memotong Valencia di tangga ketiga liga, skuad kendalian Zinedine Zidane itu terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal tuan rumah.

Kesilapan barisan benteng pelawat yang gagal mengeluarkan bola sepakan sudut Javier Eraso membolehkan pertahanan tengah, Unai Bustinza, menolak bola masuk, sekali gus memberikan kejutan buat Los Blancos apabila ketinggalan 0-1 seawal minit keenam.

Bagaimanapun, kedudukan itu hanya bertahan selama lima minit selepas bola lorongan Mateo Kovacic disusuli dengan tindakan bijak Casemiro yang membuat acahan yang membolehkan Lucas Vazquez melepaskan rembatan leret kaki kanan menewaskan penjaga gol, Ivan Cuellar.

Marco Asensio hampir meletakkan Madrid di depan pada minit ke-15 selepas melepasi halangan Gabriel, namun percubaannya tepat ke dakapan Cuellar.

Gol kedua pelawat tiba pada minit ke-29 hasil aksi cemerlang yang dipamerkan Casemiro. Pemain tengah Brazil itu mencipta hantaran satu dua bersama Karim Benzema sebelum Vazquez melakukan lorongan untuk membolehkan pemain berusia 25 tahun itu tenang membuatkan Cuellar tertewas buat kali kedua.

Setelah ketinggalan dalam babak pertama, Leganes cuba bangkit dalamseparuh masa kedua dan Claudio Beauvue hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-63 selepas menerima hantaran lintang Nabil El Zhar dari sebelah kanan tetapi Kiko Casilla tangkas menepis bola keluar.

Kapten pasukan, Sergio Ramos, menamatkan sisa kebangkitan tuan rumah menerusi sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan selepas Kovacic dijatuhkan oleh Diego Rico.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan, membolehkan Real Madrid naik satu anak tangga ke tempat ketiga liga dengan 48 mata.