MALAGA 1 REAL MADRID 2

Skuad kendalian Zinedine Zidane kembali ke tangga ketiga liga selepas menewaskan Malaga 2-1 di La Rosaleda, awal pagi tadi.


Real Madrid bertandang ke tempat lawan dengan hasrat mencipta tiga mata bagi memotong Valencia yang berada di tempat ketiga sebelum itu.

Penyerang dari Perancis, Karim Benzema, hampir memberikan pendahuluan awal buat Los Blancos apabila melakukan rembatan separa voli kaki kiri ketika aksi berusia seminit, namun percubaannya tersasar.

Hantaran lintang Lucas Vazquez juga hampir membolehkan Mateo Kovacic membuka tirai jaringan menerusi tandukan pada minit ke-15 tetapi bola sempat ditampan keluar oleh penjaga gol, Roberto.

Gol yang dicari-cari akhirnya tiba apabila pemain tengah Sepanyol, Isco, menyempurnakan sepakan percuma di depan kotak penalti pada minit ke-29 untuk memberikan pendahuluan 1-0 buat Madrid.

Dia berpeluang untuk menambah jaringan tiga minit kemudian tetapi rembatan kaki kanannya sekadar tersasar di sebelah kanan gawang tuan rumah.

Bersambung babak kedua, Madrid meneruskan asakan bertali-arus tetapi ketumpulan penyudah di depan gol menyaksikan kedudukan 1-0 kekal sehingga minit ke-63.

Benzema yang menerima lorongan Kovacic bijak mengawal bola sebelum membuka ruang buat Isco untuk melakukan larian di sebelah kiri dan bekas pemain Malaga itu melakukan hantaran leret untuk mudah disempurnakan Casemiro.

Ketika aksi tampak bakal tamat dengan kedudukan 2-0, Diego Rolan menjaringkan gol sagu hati buat tuan rumah pada minit terakhir perlawanan, namun sudah terlambat untuk menyekat kemenangan 2-1 Madrid.

Skuad bimbingan Zidane itu kini di tangga ketiga dengan 67 mata, empat mata di belakang Atletico Madrid yang berada di tempat kedua sementara pendahulu liga, Barcelona, semakin selesa di puncak dengan 82 mata.