Julen Lopetegui menyifatkan Zinedine Zidane sebagai jurulatih "luar biasa" untuk Real Madrid tetapi dia bertekad untuk melakar sejarah baru kelab itu.

Zidane melepaskan jawatannya setelah memimpin Madrid menjulang gelaran Liga Juara-Juara (UCL) ketiga berturut-turut pada Mei lalu,yang menyaksikan Los Blancos mengungguli pertandingan itu dalam setiap musim sepanjang di bawah kendalian pengurus dari Perancis itu.

Lopetegui kemudian dinamakan sebagai pengganti Zidane sehingga mendorong kepada pemecatannya oleh Sepanyol menjelang sepak mula Piala Dunia Russia sebaik pelantikannya diumumkan.

Pengurus baru itu sedang bersiap untuk menghadapi perlawanan kompetitif sulungnya apabila berdepan Atletico Madrid dalam perebutan Piala Super UEFA di Tallinn, Estonia, awal pagi esok.

Tatkala Lopetegui menghargai kejayaan yang ditinggalkan oleh Zidane, dia mahu Madrid terus memandang ke hadapan pasca era Zidane.

"Zizou telah melaksanakan tugasan yang luar biasa dan merakam gelaran yang luar biasa," kata Lopetegui dalam sidang akhbar.

"Begitupun, ia adalah masa lampau. Kini, kami perlu memandang ke hadapan dan terus menempa sejarah dan kami perlu cuba menjadi lebih baik lagi dalam semua aspek.

"Kami akan cuba melakukannya dan usah melihat ke belakang. Kami perlu melihat ke hadapan dengan yakin dan berusaha."

Madrid belum menggantikan kehilangan bintang utama, Cristiano Ronaldo, susulan perpindahan pemain Portugal tersebut yang menyertai juara Serie A, Juventus, dalam perjanjian bernilai €112 juta (RM520.5j).

Gareth Bale dan Karim Benzema, yang kedua-duanya menyumbat gol dalam kemenangan terakhir UCL ke atas Liverpool, dijangka menggalas tanggungjawab tambahan dengan ketiadaan Ronaldo.

"Gareth adalah pemain yang kami gemari untuk miliki," kata Lopetegui. "Dia telah berada di Real selama beberapa musim selain mengikuti latihan sejak awal lagi dengan cara yang luar biasa.

"Dia sangat bermotivasi dan dia merupakan tonggak yang sangat penting untuk pasukan. Dia adalah sebahagian daripada pasukan dan ketika ini penting bagi kami untuk menjadi sebuah pasukan dalam semua aspek yang dipenuhi pemain handalan seperti Gareth.

"Saya tidak akan bercakap tentang masa silam Gareth. Saya hanya bercakap mengenai masa kini dan kami gembira dengan sikap, usaha dan tujuannya.

"Saya tidak boleh bercakap tentang masa lalu Karim, sama seperti Gareth, kerana dia merupakan pemain yang saya gemari. Saya fikir dia begitu bagus dalam setiap aspek dan sikapnya hebat sejak hari pertama, bekerja keras dan cuba membantu pasukan."

Penambahan terbesar Madrid menjelang kempen 2018-19 adalah Thibaut Courtois. Pemain Belgium itu tiba dari Chelsea, namun Lopetegui enggan mengesahkan sama ada penjaga gol itu secara automatik akan menggantikan Keylor Navas.

"Ya, saya tahu siapa yang akan bermain esok," kata Lopetegui. "Tetapi, saya tidak mahu memberi maklumat pasukan hari ini memandangkan seteru kami tidak melakukannya. Apapun, ya ia jelas."