Julen Lopetegui tidak mahu memberikan komen panjang dan hanya mengucapkan selamat maju jaya buat Sepanyol selepas dia dipecat skuad La Roja sehari sebelum Piala Dunia bermula.

Lopetegui dipecat daripada jawatan ketua jurulatih buat juara Piala Dunia 2010 itu semalam selepas Real Madrid mengesahkan dia bakal bertindak sebagai pengendali Los Blancos selepas berakhir aksi di Russia, sehari sebelum itu.

Dia bakal digantikan oleh Fernando Hierro untuk menghadapi saingan Piala Dunia dan ujian buat individu yang memegang jawatan pengarah sukan Sepanyol sejak November lalu itu bakal bermula dengan aksi pertama peringkat kumpulan berdepan Portugal pada awal pagi Sabtu ini.

Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Krasnodar, Lopetegui dikerumuni oleh kelompok wartawan, namun menolak untuk memberikan sebarang kenyataan lanjut.

"Saya harap Sepanyol beraksi hebat dalam Piala Dunia dan tidak akan memperkatakan sebarang perkara lain," katanya.

Sepanyol diundi dalam kumpulan B bersama Portugal, Iran dan Maghribi.