LIVERPOOL 3 PSG 2

Roberto Firmino hadir sebagai pemain gantian bagi menjaringkan gol kemenangan ketika Liverpool mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) 3-2 dalam saingan pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) di Anfield, awal pagi tadi.


Kylian Mbappe dilihat hampir menyelematkan maruah PSG selepas menyamakan kedudukan pada minit ke-83 tetapi pemenang Piala Dunia itu kemudian hilang penguasaan bola bagi membenarkan Liverpool melancarkan serangan.

Firmino yang memasuki perlawanan pada penghujung permainan kerana mengalami kecederaan mata ketika berdepan Tottenham, Sabtu lalu, melepaskan rembatan menewaskan Alphonse Areola untuk memastikan finalis musim lalu itu meraih kemenangan bergaya dalam aksi pembukaan Kumpulan C.

PSG bangkit daripada ketinggalan 2-0 selepas Liverpool mendahului hasil tandukan Daniel Sturridge dan sepakan penalti James Milner tetapi skuad kendalian Jurgen Klopp itu berhak meraih tiga mata dalam perlawanan berkenaan.

Virgil van Dijk dan Milner telah memaksa Areola bekerja keras pada awal babak permainan manakala pelawat terpaksa bermain secara bertahan sebelum Liverpool mendahului pada minit ke-30.

Hantaran Trent Alexander-Arnold terlalu tinggi tetapi Andrew Robertson berjaya mencari Sturridge untuk menanduk masuk gol menewaskan Areola.

Liverpool menggandakan kedudukan apabila Milner menyempurnakan sepakan penalti selepas Juan Bernat menjatuhkan Georginio Wijnaldum dalam kotak penalti tetapi Thomas Meunier mengurangkan defisit jaringan buat PSG pada minit ke-40.

Liverpool kemudian kembali selesa dengan kelebihan dua jaringan dalam babak kedua apabila Mohamed Salah menampan masuk gol tetapi ia dinafikan pengadil perlawanan di atas terjahan Sturridge terhadap Areola.

Penyerang PSG, Mbappe, menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tujuh minit dengan menewaskan Alisson tetapi kesilapannya pada masa kecederaan apabila gagal mengawal kemas bola menyaksikan Van Dijk berjaya mencari Firmino untuk memastikan kemenangan buat The Reds.