Ketua jurulatih skuad B-22 tahun negara, Frank Bernhardt, menyifatkan aksi lambat panas pasukannya berpunca daripada kelewatan semua pemain berkumpul dan mengadakan latihan bersama.

Pengendali dari Jerman berkenaan tidak dapat menyembunyikan perasaannya bahawa persembahan pemain dalam separuh masa pertama jauh daripada jangkaan yang diharapkan.

Namun, pertukaran taktikal dan pemain pada babak kedua, memberikan hasil berbeza kepada pasukan negara sebelum berjaya melakar kemenangan.

Jelas Bernhardt, dia berdepan sedikit kesulitan dalam mengadun barisan terbaik ekoran pemain hanya bersama beberapa hari sebelum aksi menentang Brunei.

"Saya berasakan masalah utama dalam pasukan ini adalah kami lewat untuk mengumpulkan mereka, iaitu sehari dua sebelum perlawanan. Ia agak sukar untuk memastikan semuanya berjalan mengikut apa yang sepatutnya.

"Untuk perlawanan semalam, kami perlu menerima yang perlawanan separuh masa pertama tidak seperti apa yang dirancang. Tetapi separuh masa kedua, semuanya berubah dan kami juga melakukan beberapa perubahan," jelas Bernhardt.

Sementara itu, jurulatih Brunei, Muhammad Ali, menyatakan pasukan negara berada di tahap lebih baik berbanding pasukannya.

Menerima kekalahan dengan hati terbuka, mereka berjanji akan mencuba untuk bangkit dalam perlawanan persahabatan kedua, esok.

"Ia sangat bermakna kepada kami dan kami nampak kelemahan kami. Pemain telah menunjukkan semangat yang tinggi untuk bermain dan itu merupakan sesuatu yang cukup baik bagi kami. Segala kelemahan dan kekurangan, kami akan memperbaikinya," ujar Ali.