Pemain tengah Lazio, Sergej Milinkovic-Savic, bukan salah seorang pemain yang menjadi sasaran AC Milan dan tiada sebarang perbincangan yang wujud di antara kedua-dua pasukan, kata pengarah sukan Rossoneri, Leonardo.

Untuk musim kedua, Milan menjadi antara pasukan paling sibuk ketika jendela perpindahan, membawa masuk Samu Castillejo daripada Villareal serta bek kiri Uruguay, Diego Laxalt, daripada Genoa untuk melengkapkan skuad pada hari terakhir perpindahan.

Laporan di Itali mendakwa Milan menyasarkan untuk membawa masuk pemain Serbia, Milinkovic-Savic, menerusi yuran perpindahan EUR40 juta (RM187 juta).

Bagaimanapun, Leonardo menafikan situasi itu sambil menegaskan pasukannya berdepan kekangan peraturan Fair Play Kewangan (FFP) untuk membawa masuk pemain bintang selepas mendapatkan Gonzalo Higuain, Mattia Caldara, Pepe Reina, Ivan Strinic dan Tiemoue Bakayoko.

"Tiada sebarang perbincangan dan saya tidak tahu bagaimana pihak media boleh tahu tentangnya," ujar Leonardo.

"Saya mengenali ejen Milinkovic-Savic tetapi tiada sebarang usaha untuk mendapatkan perjanjian membawanya ke Milan. Tentunya agak mustahil untuk kami mendapatkan pemain mahal dan kami menghormati peraturan Fair Play Kewangan (FFP).

"Proses perpindahan kami sentiasa mempunyai kaitan, seorang pemain masuk dan ada yang keluar. Ia tidak mudah tetapi kami dapat mengawalnya, sebagai contoh perpindahan Leonardo Bonucci, Caldara dan Higuain.

"Amat penting untuk mendapatkan keseimbangan dan ia adalah sasaran kami. Namun, kami sedar peminat-peminat akan berasa jemu jika kami sering menjadikannya sebagai satu alasan tatkala mereka mahukan tindakan. Kami harus menjelaskan kepada mereka dan sentiasa berterus-terang.

"Memastikan kewangan seimbang ketika jendela perpindahan sentiasa menjadi sasaran kami dan setakat ini, kami dapat mengawalnya, membuatkan kami teruja," tambahnya.