PSG 5 MONTPELLIER 1

Paris Saint-Germain (PSG) melebarkan kelebihan mereka di puncak Ligue 1 kepada 15 mata selepas Angel Di Maria meledakkan gol terbaik perlawanan yang membantu kemenangan 5-1 pasukan itu ke atas Montpellier di Parc des Princes, awal pagi tadi.


Selepas jaringan awal Layvin Kurzawa kembali disamakan kedudukan oleh Florent Mollet, Di Maria meledak masuk sepakan percuma melencong yang sempat menggegar palang gol lawan, sekali gus menjadi pemangkin kepada kemenangan besar tuan rumah di Paris.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu kemudian memaparkan kelancaran mereka di atas padang dengan Christopher Nkunku menanduk masuk gol ketiga sebelum kapten Montpellier, Hilton, tertampan rembatan Kylian Mbappe ke gawang sendiri.

Mbappe turut memperoleh satu jaringan bagi membuktikan pasukan itu tidak terjejas tanpa Neymar dan Edinson Cavani yang cedera.

Kurzawa menanduk masuk gol pembukaan selepas memanfaatkan hantaran lintang Dani Alves dari bahagian kanan padang untuk menewaskan Benjamin Lecomte.

Di Maria sepatutnya menggandakan jaringan itu lebih awal ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan Lecomte, namun percubaannya menuju tepat ke arah penjaga gol itu.

Mollet melakukan sepakan percuma melencong dari luar kotak penalti untuk pelawat menyamakan kedudukan walaupun Buffon berjaya menepis keluar bola yang sudah melintasi garisan gol itu.

Tumpuan dalam separuh masa pertama tetap terarah kepada Di Maria apabila dia menghasilkan sepakan percuma dari jarak 30 ela yang meluru masuk di celah-celah benteng pertahanan lawan dan melantun ke bahagian bawah palang untuk melebarkan kedudukan buat tuan rumah.

Percubaan Julian Draxler dari jarak 20 ela tersasar pada pembukaan babak kedua dan Lecomte melakukan aksi menyelamat dengan sebelah tangan untuk menafikan percubaan jarak dekat Mbappe.

Gol ketiga PSG muncul selepas Nkunku menanduk bola daripada sepakan sudut yang cuba ditanduk keluar Petar Skuletic, namun terbias masuk ke gawang Montpellier.

Hilton berdepan igauan ngeri pada lewat permainan selepas menjadi punca kepada jaringan keempat dan kelima PSG.

Dia cuba menghalang dua percubaan Mbappe, namun kedua-duanya mengakibatkan gawang Lecomte dibolosi.