Pengendali Lazio, Simone Inzaghi, menyifatkan pasukannya telah mengatasi sasaran yang ditetapkan selepas menempah tiket suku akhir Liga Europa susulan kejayaan menundukkan Dynamo Kiev 2-0 di tempat lawan, awal pagi tadi.

Kemenangan itu bermakna skuad Biancocelesti itu melangkah ke kelompok lapan terakhir menerusi keputusan agregat 4-2 selepas Lucas Leiva dan Stefan de Vrij masing-masing mencatat nama dalam senarai penjaring di Kiev.

Tatkala mereka kini muncul pemenang Piala Super Itali serta menduduki tangga keempat liga, Inzaghi jelas berpuas hati dengan pencapaian yang dipamerkan anak buahnya.

"Saya harus memuji pemain-pemain di atas persembahan hebat yang mereka tunjukkan," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Kami berhak meraih tempat dalam suku akhir tetapi ia bukan sesuatu yang mudah. Seluruh pasukan berada pada prestasi terbaik dan kami wajar menuntut kemenangan.

"Lazio melakukan persiapan rapi untuk perlawanan ini dan kami sentiasa berada dalam keadaan terbaik."

"Tiada apa lagi yang dapat saya minta daripada pasukan selepas menjuarai Piala Super Itali serta melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah dan hanya gagal melangkah ke final Piala Itali menerusi penentuan sepakan penalti.

"Kini kami dalam suku akhir Liga Europa. Kita akan saksikan undian esok dan objektif kami adalah ingin melangkah jauh. Kami percaya, dengan mentaliti yang dimiliki, kami mampu melakukannya," tambah Inzaghi.