Ketua Jurulatih Kelantan, Zahasmi Ismail menggesa pemainnya melupakan dua kekalahan berturut-turut dalam saingan Liga Super sebaliknya menjadikan pertarungan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam esok, sebagai detik kebangkitan semula.

“Lupakan dua kekalahan tersebut (menentang Kedah dan Melaka United). Fokus sepenuhnya perlawanan bertemu Selangor di gelanggang sendiri. Kita perlu cepat bangkit dan kemenangan ke atas Red Giants adalah jawapan terbaik.

“Semua orang kecewa dengan kekalahan yang dialami tetapi saya percaya pemain Kelantan akan terus memberikan aksi terbaik untuk mencari tiga mata di tempat sendiri,”katanya.

Zahasmi juga memberi bayangan akan merombak kesebelasan utama dengan memberi peluang kepada pemain muda bagi mempamerkan aksi terbaik di atas padang.

“Saya akan rehatkan beberapa pemain regular atas faktor kepenatan mengharungi lima perlawanan berturut-turut dan cuba memberi peluang kepada pemain muda untuk menunjukkan aksi menentang Selangor.

“Harap mereka (pemain muda) tidak akan mengecewakan dan memberikan aksi terbaik demi mencari kemenangan bagi memulihkan moral pasukan yang terjejas teruk,”katanya.

Ditanya mengenai prestasi semasa skuad kendalian P.Maniam musim ini, Zahasmi menyifatkan Selangor memiliki gabungan pemain tempatan dan import yang baik malah mempunyai rekod kemenangan yang memberangsangkan di Kota Bharu.

“Selangor sebuah pasukan yang berpengalaman dan memilik rekod seimbang dalam pertemuan menentang TRW. Kita pernah menang di Shah Alam dan mereka juga beberapa kali menewaskan kita di Kota Bharu.

“Cuma, perlawanan malam esok memang menarik kerana kita memerlukan kemenangan untuk bangkit semula daripada dua kekalahan yang menyakitkan,”katanya.

Zahasmi juga mengharapkan sokongan padu daripada penyokong setia TRW biarpun prestasi pemainnya masih tidak menentu dalam saingan Liga Super.

“Harap penonton terus memberikan sokongan kepada pemain TRW biarpun memahami prestasi semasa Kelantan tidak memuaskan. Kami berjanji akan terus memberikan aksi terbaik untuk mencari kemenangan bertemu Selangor,”katanya.