Philipp Lahm mengakui mengalami perasaan bercampur-baur selepas perlawanan terakhirnya bersama Bayern Munich di Allianz Arena, semalam.

Pemain berusia 33 tahun itu beraksi 87 minit ketika menewaskan Freiburg 4-1 untuk penampilan kompetitif ke-517 bersama kelab itu.

Bayern menukar perlawanan Bundesliga terakhir kempen ini untuk menjadi satu persembahan penghormatan buat Lahm, serta Xabi Alonso dan Tom Starke, yang juga akan bersara.

Beberapa legenda kelab itu turut berbaris di atas padang untuk mengalu-alukan pemain, yang berjalan dengan anak-anak mereka sebagai maskot hari perlawanan.

Alonso dan Lahm diberi ruang masa berucap sebelum sepak mula dan kedua-duanya digantikan pada babak akhir untuk memberi satu lagi peluang kepada penonton Allianz Arena bagi menunjukkan penghargaan mereka.

Bintang pop Amerika Syarikat, Anastacia, turut memberikan persembahan istimewa pada masa rehat dengan memakai baju Bayern yang tertera nombor Lahm.

Meraikan kemenangan ke-250 dalam Bundesliga , dengan menjulang trofi buat kali kelapan, Lahm mengakui bahawa ia merupakan detik beremosi untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kelab pertama yang disertainya ketika berusia 11 tahun.

"Perasaan bercampur, apabila anda meraikan untuk kali terakhir dengan rakan-rakan di sana," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

"Ia beremosi apabila pengalaman bersama peminat, pasukan dan kawan-kawan saya berakhir di sini.

"Berada di padang ini bersama pasukan dan jurulatih adalah kehidupan saya. Kelab ini seperti satu komuniti yang besar. Saya akan merinduinya.

"Saya mengalami banyak detik-detik indah dengan semua orang di sini. Bersama rakan sepasukan, peminat, semua orang. Selamat maju jaya kepada semua."