BATE 1 ARSENAL 0

Alexandre Lacazette memohon maaf atas kad merah yang dikutipnya ketika Arsenal berdepan BATE, dan kekalahan itu diakui rakan sepasukan Petr Cech itu menyempitkan peluang mereka untuk mara pusingan 16 Liga Europa.


The Gunners menempuhi pertemuan pertama yang menghambarkan di Belarus apabila ditumpaskan melalui gol tandukan Stanislav Dragun dalam babak pertama sementara Lacazette dibuang padang ketika menuju masa kecederaan, awal pagi tadi.

Penggempur itu yang menyiku pemain pertahanan, Aleksandar Filipovic, menulis di Twitter: "Membiarkan pasukan dalam keadaan pincang merupakan perasaan terburuk, saya sepatutnya bersikap tenang tetapi ia bukannya mudah.

"Aksi masih berbaki 90 minit dan saya percaya bahawa rakan sepasukan dapat meloloskan diri ke pusingan seterusnya."

Penjaga gol, Cech, pula kecewa dengan ketumpulan jentera serangan Arsenal biarpun jaringan Lacazette dibatalkan kerana ofsaid.

Justeru, kelab Liga Perdana itu harus memadamkan defisit 0-1 dalam pertemuan di Stadium Emirates minggu depan.

"Kami tidak memanfaatkan peluang," kata Cech kepada laman sesawang rasmi kelab itu. "Kami bermain baik dalam babak pertama dan mencipta peluang yang memadai.

"Malangnya, kami tidak mengambil peluang yang ada dan kami melepaskan gol pada penghujung perlawanan. Jelas sekali ia memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.

"Dalam babak kedua, mereka menunggu untuk melancarkan serangan balas dan kami cuba mencari jalan untuk menjaringkan gol dan berjaya melakukannya, namun ia ofsaid.

"Kami meraih keputusan yang tidak diingini. Kami mahu menjaringkan gol, kami mahu menang dan kami mahu meletakkan diri dalam posisi yang baik untuk pertemuan kedua tetapi kami telah menjadikannya lebih sukar untuk diri sendiri," tambahnya.