LA Galaxy mengumumkan kedatangan penyerang baru, Javier Hernandez, daripada Sevilla hari ini.

Bekas penyerang Manchester United itu menyertai Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) selepas hanya menghabiskan empat bulan bersama skuad kendalian Julen Lopetegui itu dalam LaLiga.

Hernandez atau dikenali dengan Chicharito, yang menjaringkan tiga gol daripada 15 penampilannya bersama Sevilla, dilaporkan menjadi pemain dengan bayaran termahal di Amerika Syarikat (AS) berdasarkan gaji $6juta (RM24.4 juta) dalam kontrak selama tiga tahun itu.

Bercakap kepada LA Times sebelum perpindahannya diumumkan, Hernandez berkata perpindahan itu tiba pada waktu dan peluang yang tepat.

Pemain berusia 31 tahun itu, yang akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas penyerang utama, Zlatan Ibrahimovic, berkata: "Mereka akan memperkatakannya kerana saya tidak dapat melakukannya (di Eropah).

"Tetapi dalam bola sepak, adakalanya terdapat perkara yang di luar kawalan anda.

"Sepanjang dua tahun lalu, pengurus lebih memilih untuk memberikan keyakinan kepada pemain lain berbanding saya.

"Dan sekarang, di LA Galaxy, pengurus kelab dan liga berkata kepada saya 'Lihat Javier, kami mahu memberikan anda segala kepercayaan, segala keyakinan untuk membantu kami'.

"Disebabkan itu saya mahu mengambil peluang ini," katanya.

Hernandez memulakan karier profesionalnya bersama Guadalajara sebelum menyertai United pada 2010.

Pemain kebangsaan Mexico itu menjaringkan 20 gol dalam kesemua kejohanan sepanjang musim pertamanya di England dengan membantu skuad The Red Devils itu memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mara ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Dia sekali lagi memenangi kejuaraan EPL dalam musim 2012-13 tetapi bergelut ketika David Moyes dilantik sebagai pengurus sebelum dipinjamkan kepada Real Madrid dalam musim 2014-15 sewaktu Louis van Gaal mengambil alih pasukan itu.

Hernandez kembali ke tahap sebenar ketika menyertai Bayer Leverkusen pada Ogos 2015 dengan menjaringkan 28 gol dalam 54 perlawanan Bundesliga.

Dia kemudian kembali ke EPL untuk menyertai West Ham pada 2017 dan menjaringkan 27 gol sebelum menyertai Sevilla.


Editor: Muzaffar Musa