Pengurus Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Kamaruddin Hassan, lega dengan keputusan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) yang menangguhkan hukuman pemotongan mata terhadap kesalahan tidak melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan.

Beliau berkata peluang kedua yang diberikan itu semestinya tidak akan disia-siakan persatuan itu bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Jelasnya, segala dokumen yang harus diselesaikan telah pun lengkap sepenuhnya dan sepatutnya tidak akan mendedahkan skuad Kuala Lumpur kepada pemotongan mata selepas ini.

Semestinya, pihak pengurusan KLFA mengambil serius berhubung perkara itu dalam memastikan tiada lagi masalah baru akan timbul.

"Pertamanya, daripada segi pentadbiran, Presiden (Datuk Seri Adnan Md Ikhsan) sudah bertemu dengan pengurusan KLFA untuk memastikan ia tidak berulang lagi.

"Kedua, Kuala Lumpur berasa bersyukur kerana tiada penolakan mata di situ. Pemain akan terus memberikan kejayaan dalam perlawanan akan datang.

"Sebenarnya, ia melibatkan bayaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sahaja. Bayaran kami sudah buat, resit penerimaaan daripada KWSP itu yang belum selesaikan. Pihak FMLLP mahukan penyata yang kami bayar itu. Perkara lain sudah dilengkapkan," kata Kamaruddin.

FMLLP hari mengenakan penangguhan hukuman pemotongan mata kepada 10 pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan Liga Malaysia 2018.

Selain Kuala Lumpur, pasukan yang dikategorikan gagal melengkapkan dokumen pendaftaran adalah Kelantan, Kuantan FA, PDRM, Pulau Pinang dan Sarawak.

Sementara itu, Selangor, PKNS FC, MISC-MIFA FC dan UKM FC pula adalah skuad yang lewat menghantar dokumen pendaftaran pasukan.