Pemain Napoli, Kalidou Koulibaly, gembira untuk terus kekal bersama pasukannya sambil menyifatkan dirinya berhutang satu kejuaraan Serie A dengan penyokong-penyokong kelab.

Pertahanan tengah itu berhijrah ke Napoli dari kelab Belgium, Genk, pada tahun 2014 dan walaupun berdepan masalah untuk meyakinkan pengendali ketika itu, Rafael Benitez, dia kini muncul tonggak utama di bawah bimbingan Maurizio Sarri.

Situasi itu membuatkannya menarik perhatian beberapa kelab di Eropah, termasuk pengurus Chelsea, Antonio Conte, yang secara terbuka menyatakan minat terhadapnya.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu tidak mahu tergesa-gesa untuk keluar dari Napoli kerana mahu memenangi kejuaraan Scudetto bersama pasukannya dan berkemungkinan menghabiskan seluruh karier di kota Naples.

"Untuk keluarga dan penyokong-penyokong, sekiranya melibatkan kontrak yang bagus, saya tidak akan berdepan masalah untuk kekal di sini.

"Saya sangat gembira bersama Napoli. Saya mempunyai segala-galanya di sini, jadi saya bertekad untuk memberikan segala-galanya buat Neapolitans.

"Kini saya semakin matang selepas memerlukan hampir setahun untuk menyesuaikan diri bersama pasukan. Saya sedang bekerja keras dan berkorban. Sudah tentu saya tidak akan berhenti setakat ini," katanya.

Koulibaly juga memuji sumbangan Sarri dalam membentuk kariernya di Itali selepas melalui proses perbincangan sebaik sahaja pengendali itu tiba pada 2015.

"Saya berdepan masalah dengan Benitez tetapi apabila Sarri tiba, dia mahu saya mendengar nasihatnya untuk berjaya.

"Ia sangat penting kerana memberikan saya keyakinan. Aksi Liga Europa menentang Club Brugge adalah satu titik tolak dalam karier saya," tambahnya.