Jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak, akur gagal menghimpunkan barisan pemain terbaiknya untuk kem latihan pusat susulan beberapa pemain utamanya terikat dengan komitmen bersama kelab masing-masing.

Antara pemain yang dimaksudkan ialah penyerang Kedah, Akhyar Rashid, pemain tengah Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, dan penyerang Johor Darul Takzim (JDT II), Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Mereka tidak mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing, sekali gus menyaksikan kali kedua Hodak kempunan mengumpul pemain terbaiknya selepas persiapan pertama pada Mac lalu.

Diminta mengulas mengenai situasi itu, ini reaksi Hodak: "Ini situasi yang sukar. Mana-mana pasukan yang mengadakan persiapan juga tidak akan berlangsung sempurna.

"Pemain-pemain saya ada yang beraksi dalam perlawanan sukar dan menjalani latihan keras. Jadi, saya tidak risau tentang mereka.

"Apa yang membimbangkan saya ialah masalah kecederaan."

Selasa lalu, Hodak mengumumkan senarai 27 pemain untuk menjalani kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, bermula Ahad ini.

Selepas sembilan hari berlatih di tanah air, seramai 23 pemain terbaik akan dipilih dan dibawa ke Bangkok, Thailand, pada 29 Mei ini untuk sesi latihan dan tiga perlawanan persahabatan selama seminggu.

"Saya perlu menilai sama ada mereka boleh membentuk keserasian dan bersedia menghadapi siri jelajah Thailand, termasuk bertemu skuad Thailand B-19.

"Mereka pasti akan mengharungi perlawanan yang sukar dan adalah penting untuk menilai sejauh mana kemampuan mereka dalam aksi getir," katanya.

Skuad B-19 negara terlebih dahulu akan beraksi dalam Kejohanan AFF di Indonesia Julai ini sebelum menghadapi tugasan lebih besar, Kejohanan AFC, juga di Indonesia pada Oktober depan.