Biarpun Malaysia masih meratapi kekecewaan tersingkir daripada Kejohanan AFF B-22 minggu lalu, penyerang negara, R. Kogileswaran, sudah berazam untuk mencetuskan kebangkitan pasukannya dalam Kejohanan Kelayakan AFC B-23, bulan depan.

Kogileswaran lebih terkilan memandangkan penampilannya di Phnom Penh, Kemboja, hanya terhad kepada satu perlawanan.

Selepas aksi menentang tuan rumah dalam perlawanan pembukaan, dia terpaksa menyaksikan dua perlawanan berikutnya -- menentang Indonesia dan Myanmar -- dari tempat duduk penyokong susulan kecederaan buku lali kanan.

"Saya amat kecewa kerana tidak dapat beraksi dalam dua perlawanan terakhir.

"Saya berharap untuk dapat kembali diturunkan dalam aksi separuh akhir, namun ia bukan rezeki kami untuk beraksi di peringkat itu.

"Kami mengambilnya sebagai satu pendedahan yang baik menjelang saingan AFC bulan depan," katanya.

Kogileswaran, bagaimanapun, berasakan tempoh sebulan sebelum kempen Kelayakan AFC bermula akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencari semula kecergasan dan prestasi terbaik.

"Saya akan berbincang dengan pihak perubatan tentang apa yang perlu dilakukan bagi merawat kecederaan ini.

"Saya akan melakukan pemulihan secepat mungkin untuk pulih dan mendapatkan kembali kecergasan terbaik.

"Saya akan pastikan saya kembali cergas sepenuhnya," tambahnya.