Pengurus Everton, Ronald Koeman, mahu melangkah jauh dalam saingan Liga Europa musim ini selepas melepasi pusingan ketiga kelayakan.

Everton layak ke saingan play-off selepas menewaskan kelab Slovakia, Ruzomberok, 2-0 menerusi agregat.

Pemain muda England, Dominic Calvert-Lewin, menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk mengesahkan kemenangan The Toffees selepas Leighton Baines menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan pertama.

Selepas dilihat berbelanja besar mendapatkan pemain baru, Koeman tidak sabar untuk menterjemahkan pelaburan itu dalam saingan Liga Europa.

“Kejohanan ini sentiasa penting buat saya,” ujar Koeman.

“Saya suka bersaing di peringkat Eropah kerana ia penting untuk pengalaman, sekaligus memberikan kebaikan buat kelab, pemain serta penyokong.

“Tidak mudah untuk layak ke peringkat kumpulan tetapi kami akan melakukan yang terbaik untuk memastikan tempat,” katanya.

Dalam masa sama, Koeman percaya Calvert-Lewin mampu menyinar selepas mempamerkan aksi yang memukau ketika perlawanan di MFK Ruzomberok.

“Mungkin dia lebih selesa beraksi secara berpasangan di barisan hadapan.

“Dia memiliki tubuh yang kuat, pantas serta menjaringkan gol yang hebat,” tambahnya.