Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, memuji pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield, Christian Pulisic, selepas dua jaringannya membolehkan Borussia Dortmund menundukkan The Reds dalam aksi Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC).

Bintang Amerika Syarikat, Pulisic, menyumbat dua gol untuk membolehkan Dortmund bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Liverpool 3-1 di Stadium Bank of America, Charlotte.

Klopp dilihat membuka ruang untuk membawa masuk pemain berusia 19 tahun itu apabila menyatakan kekagumannya terhadap bintang Dortmund itu ketika sidang media.

"Saya tidak melihat sebarang perkara baru, cuma sedikit dewasa dan mempunyai ukiran badan yang baru," katanya.

"Dia adalah seorang pemain yang memiliki kemahiran tinggi dan ia bukan sesuatu yang memeranjatkan. Pulisic juga seorang pemain yang bijak dan Amerika Syarikat memerlukan lebih ramai pemain sepertinya. Dia tidak mampu melakukannya seorang diri.

"Usah berikan terlalu banyak tekanan kepada dia. Diharapkan akan ada ramai lagi pemain sepertinya. Jika Belgium dan Iceland boleh ke Piala Dunia, begitu juga dengan Amerika Syarikat," ujarnya.

Dalam masa sama, Klopp gembira dengan perkembangan pasukannya walaupun tewas. Bagi pengendali dari Jerman itu, keputusan bukan sesuatu yang penting, sebaliknya persembahan pemain-pemain menjadi perhatian.

"Kami sudah menjelaskan beberapa kali bahawa bola sepak memerlukan keputusan dan kami tewas. Dortmund menyumbat tiga gol dan kami hanya meraih satu. Ia keputusan yang adil," tambahnya.

"Jelas sekali perlawanan ini menjadi sukar buat kedua-dua pasukan. Anda boleh lihat pemain-pemain masih gagal menemui rentak selepas berada di atas padang untuk tempoh yang lama.

"Dortmund bermula dengan baik, namun kami dapat mengawal permainan tanpa mencipta sebarang peluang. Kami menjaringkan gol yang menarik daripada situasi bola mati dan mungkin cara itu adalah perkara terbaik daripada kami dalam aksi ini."