Jurgen Klopp menyelar barisan pertahanan Liverpool selepas mudah melepaskan dua gol untuk Leicester City menang 2-0 dalam Piala EFL di Stadium King Power, awal pagi tadi.

Liverpool -- yang membuat lapan pertukaran selepas seri 1-1 dengan Burnley -- membenarkan lawan menjaringkan dua gol dalam aksi pusingan ketiga itu dan tersingkir daripada kejohanan tersebut.

Skuad Klopp pada awalnya mengeluarkan bola daripada sepakan sudut tetapi kemudian gagal menangani bola yang kembali ke kotak penalti, membolehkan Shinji Okazaki merembat rendah untuk mengecewakan penjaga gawang, Danny Ward, pada minit ke-66.

Leicester menambah jaringan 12 minit kemudian, bermula daripda balingan untuk barisan depan skuad itu membuat gerakan baik sebelum Islam Slimani melepaskan sepakan deras menggunakan kaki kiri.

"Kami bermain sangat bagus pada babak pertama, kami sepatutnya menentukannya pada awal perlawanan, kami mempunyai peluang besar," kata Klopp.

"Tetapi itulah bola sepak -- ia adalah permainan 90 minit.

"Bola kedua selepas sepakan sudut, kemudian bola daripada balingan. Saya 'sakit' melihat gol seperti ini, jujur, ia sukar dipercayai. Anda perlu terus bertahan sehingga akhir, mereka menjaringkan gol terlalu mudah."

Liverpool menguasai separuh masa pertama tetapi berhempas-pulas selepas rehat tanpa Philippe Coutinho yang digantikan oleh Ben Woodburn.

Bagaimanapun, Klopp mendedahkan bahawa dia sentiasa mempunyai perancangan untuk pemain Brazil itu - yang hanya membuat penampilan pertama untuk kelabnya musim ini pada hujung minggu lalu.

"45 adalah hadnya, kami tidak boleh memaksanya," kata jurulatih kelahiran Jerman itu.

Klopp berharap memperoleh nasib yang lebih baik apabila kembali ke tempat yang sama untuk aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini.