Klinik bola sepak 'Back To Basic' di Padang Bandaran Tenom mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 360 kanak-kanak dan remaja menyertainya.

Program dua hari yang dikendalikan jurulatih berpengalaman, Justin Ganai, dengan dibantu jurulatih tempatan serta bekas bintang bola sepak Sabah itu kali pertama diadakan di daerah pedalaman berkenaan.

Ia dianjurkan bersama Persatuan Belia Manining Pogokon (MAPA) Tenom dan Biro Sukan Pemuda UMNO Tenom dengan disokong Media Mix Team (MMT) serta stesen radio komuniti Kupikupi FM.

Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar, dalam ucapan penutupannya petang tadi berkata beliau tidak menjangkakan program itu mendapat sambutan luar biasa.

"Pada mulanya, seramai 200 kanak-kanak dan remaja mengesahkan pendaftaran mereka, namun lebih 300 yang datang. Kami juga berterima kasih kepada semua jurulatih yang datang membantu menjayakan program ini.

"Usaha seperti ini tidak akan terhenti setakat di sini saja, kami akan meneruskan program klinik bola sepak ini termasuk pada 16 September depan yang mana kami akan membuat program seperti ini menerusi JJ Football Club," katanya.

Sementara itu, antara bekas bintang bola sepak yang hadir membantu serta memeriahkan klinik berkenaan termasuk Jelius Ating yang kini pengendali Sang Badak, Matlan Marjan, Zainizam Marjan, Junaidy Tuah dan Manjin Basayu.

Turut diadakan selepas program itu ialah perlawanan persahabatan di antara pasukan Veteran Tenom dan MMT.