Seramai 200 remaja bakal menyertai Klinik Bola Sepak 'Back To Basic' yang bakal diadakan di Padang Bandaran Tenom pada 1 dan 2 September depan.

Klinik yang dikendalikan jurulatih berpengalaman, Justin Ganai, itu dibuka secara percuma kepada remaja berusia 11 hingga 14 tahun.

Program julung kali diadakan itu adalah anjuran Persatuan Belia Manining Pagoukon (MP) Tenom dengan kerjasama Media Mix Team (MMT) serta Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Tenom.

Ia akan dirasmikan Ketua Penerangan Pemuda Umno, Jamawi Jaafar, yang juga Ketua Pemuda Umno Tenom serta Pegawai Khas Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Pengerusi penganjur, Gideon Gadit, berkata program yang diadakan itu bagi memberi peluang kepada remaja di Tenom serta kawasan berhampiran untuk mempelajari teknik-teknik asas bola sepak.

"Dalam bola sepak, teknik asas adalah sangat penting jika seseorang itu mahu pergi lebih jauh dalam sukan berkenaan.

"Dengan tunjuk ajar yang bakal diberikan Justin sebagai jurulatih berpengalaman di negara ini, ia pasti memberi satu pengalaman yang boleh dijadikan bekalan mereka pada masa akan datang," katanya.

Gideon berkata program yang diadakan itu juga bagi memberi peluang kepada remaja di kawasan pedalaman menimba ilmu dalam bola sepak.