Jurulatih skuad senior kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, mengakui barisan pemainnya mula berasa kepenatan akibat perubahan jadual latihan pada sesi petang yang diawalkan ke pukul 3 petang, namun mereka tiada pilihan sebagai persediaan untuk mengharungi jadual perlawanan sebenar nanti.

Cuaca panas menjadi kekangan utama skuad negara yang bertungkus-lumus menyesuaikan diri untuk beraksi pada jam 4.30 petang dalam saingan sebenar Piala AFF Suzuki untuk bertemu Kemboja dan Vietnam di Yangon, Myanmar nanti.

Melewati jadual latihan yang diubah sejak dua hari lalu, segalanya berlangsung dengan sempurna walau hakikatnya faktor kepenatan memainkan peranan ekoran jarak waktu dengan sesi latihan sebelah pagi begitu singkat.

Bagaimanapun, Kim Swee dan anak buahnya tiada pilihan lain.

"Mungkin pemain mengalami keletihan. Tapi latihan yang kami lakukan pada sebelah pagi tidak berintensiti tinggi di mana kami banyak melakukan latihan situasi bola mati.

"Dan ini tidak mengundang banyak masalah kerana mereka tidak perlu banyak berlatih," ujar Kim Swee dalam sesi latihan kem kebangsaan, hari ini.

Skuad negara membawa misi besar dalam saingan Piala AFF Suzuki kali ini, iaitu mengintai kejuaraan dalam kejohanan dwitahunan itu.

Walaupun ada yang menganggap ia misi sukar, namun kekuatan Malaysia yang sukar dibaca pihak lawan dilabel sebagai kelebihan utama mereka ketika ini.

"Semua pihak menginginkan satu keputusan yang cukup baik, termasuk jurulatih dan pemain.

"Apa yang saya dapat lihat selepas seminggu bersama, pemain-pemain bertambah arif di antara satu sama lain dan bekerjasama dengan baik di dalam dan luar padang."