Jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengharapkan pemain seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid mampu memperkuatkan pasukannya untuk Kejohanan AFF B-22 tahun di Kemboja bulan depan selepas pasukannya gagal menyerlah dalam aksi persahabatan di Bangkok, Thailand.

Skuad muda negara berkunjung ke Thailand untuk persediaan menghadapi Kejohanan AFF B-22 bulan depan dan kelayakan Kejohanan AFC B-23 pada Mac tanpa beberapa tonggak utama.

Selain Safawi dan Akhyar, tonggak muda lain yang turut dibawa Kim Swee ialah pemain tengah Syamer Kutty Abba, Syahmi Safari dan penjaga gol, Haziq Nadzli.

Ketiadaan mereka jelas dirasai apabila skuad muda negara tewas dalam semua tiga perlawanan persahabatan menentang kelab Thailand.

"Kejohanan AFF amat penting kerana saya mahu membariskan kesebelasan terbaik sebagai persiapan menghadapi kelayakan Kejohanan AFC pada bulan Mac," kata Kim Swee.

Aksi tersebut merupakan medan buat Kim Swee menguji pemainnya, dengan keputusan tersebut tetap mengundang kebimbangan menjelang dua kejohanan penting itu nanti.

Skuad muda negara tiba di tanah air hari ini dan mereka akan berkumpul semula 10 Februari depan.

"Terdapat beberapa pemain yang bakal terlibat dalam saingan utama seperti Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia (ACL). Saya akan membuat keputusan pemain manakah yang bakal dipanggil menyertai skuad B-22 negara," ujarnya.