Pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan beberapa pemainnya terpaksa dilepaskan semula untuk kembali bersama pasukan masing-masing sebaik sahaja selepas perlawanan menentang skuad B-22 Myanmar, semalam.

Sesi pemulihan skuad B-22 tahun negara hari ini hanya membabitkan seramai 23 pemain berbanding jumlah keseluruhan 26 pemain.

Tiga pemain yang dilepaskan adalah dua pemain Sarawak, Nur Shamie Iszuan Amin dan Tommy Mawat Bada serta Syazwan Zaipol Bahari dari PKNP FC.

"Kami faham situasi kelab tetapi jika dilihat dalam aksi semalam, pemain-pemain jelas keletihan," kata Kim Swee.

Beberapa pemain lain turut akan dilepaskan susulan permintaan daripada pasukan negeri dan kelab masing-masing yang akan beraksi dalam saingan liga minggu ini.

Kim Swee yang akur dengan situasi tersebut kini hanya fokus untuk sesi latihan bersama pemain sedia ada sebelum berlepas ke Bangkok pada Isnin.

"Kemungkinan pada pagi Isnin baru saya akan mengumumkan senarai 23 pemain, itu pun jika mencukupi," tambahnya.