Bekas ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, sah kembali ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Ketua Unit Pembangunan Belia badan induk itu.

Perkembangan itu disahkan Kim Swee yang bersetuju dengan pelantikan tersebut selepas FAM memutuskan untuk tidak menyambung kontraknya sebagai pengendali skuad B-22 negara yang berakhir Disember lalu.

Beliau akan menggalas tanggungjawab tersebut untuk tempoh setahun bermula bulan ini, namun memberi bayangan tidak akan memegang jawatan itu untuk satu tempoh panjang.

“Sudah tentu tugas saya tertumpu kepada pembangunan bola sepak dalam negara. Saya harap dengan adanya saya dalam unit ini dapat membantu serba-sedikit tentang pembangunan belia negara.

“Di peringkat pembangunan, kami harus tahu ia memerlukan masa dan saya tidak akan berada di sini selama-lamanya tetapi pembangunan pemain akan berlaku untuk masa yang panjang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi ‘post-morterm’ Sukan SEA 2019 melibatkan sukan bola sepak di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Sebagai permulaan, Kim Swee berkata beliau akan bekerjasama dengan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk merangka beberapa program pembangunan akar umbi.

“Saya akan bekerjasama dengan Saad Ichalalene untuk merangka beberapa program mengikut hala tuju FAM, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA. Semua program pembangunan belia memerlukan masa yang panjang,” tambahnya.

Kim Swee yang membimbing Malaysia meraih pingat emas dalam Sukan SEA 2011 di Indonesia, ditamatkan kontrak susulan prestasi hambar skuad negara ketika saingan di Filipina bulan lalu yang menyaksikan Malaysia terkandas di peringkat kumpulan.

Sementara itu, Kim Swee enggan menyalahkan mana-mana pihak di atas kegagalan pasukannya, sebaliknya telah mengemukakan dua perancangan untuk memastikan Malaysia turun beraksi dalam temasya dwitahunan itu dengan sasaran yang tepat.

“Sesi ‘post-morterm’ ini bukan untuk menuding jari. Apa yang berlaku dalam Sukan SEA, saya telah terangkan sebelum ini, jadi saya tak nak menyentuh mengenai penyebab kegagalan yang dibincangkan di dalam.

“Kami mempunyai dua perancangan: A dan B untuk Sukan SEA akan datang tetapi terpulang kepada pihak atasan untuk tentukan sama ada kita ingin dapatkan keputusan yang baik atau inginkan pendedahan,” katanya.

-- BERNAMA