Jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee, masih belum berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemainnya, terutama di bahagian pertahanan dan tengah pasukan, walaupun berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas skuad B-22 tahun Myanmar di Stadium Shah Alam, semalam.

Tiada senyuman terukir di wajah Kim Swee dalam sidang media selepas skuad negara berjaya meraih kemenangan ke atas Myanmar meskipun hanya memiliki tempoh masa yang singkat untuk melakukan
persediaan.

Kim Swee menegaskan aksi itu tidak boleh dijadikan perbandingan keupayaan sebenar skuad negara memandangkan lebih 50 minit kedua-dua pasukan terpaksa beraksi di atas padang becak kerana hujan.

Selain itu, dia berasa bimbang dengan aspek disiplin yang dipamerkan pemain pertahanan sehingga hampir dihukum oleh jentera serangan lawan.

"Pemain nampak gementar apabila tidak bermain bersama dalam tempoh masa yang lama dan pengeluaran bola dari kawasan bahaya juga tidak teratur," ujar Kim Swee.

"Tempoh masa latihan selama sehari juga tidak mencukupi dan pemain jelas keletihan selepas separuh masa pertama," tambahnya.

Sementara itu, Myanmar menyalahkan faktor cuaca sebagai punca mereka gagal bermain baik sepanjang 90 minit.

Jurulatihnya, Gerd Zeise, berharap mereka tidak akan berdepan masalah sama apabila beraksi dalam saingan Sukan SEA 2017, bulan depan.

"Sukan SEA masih lama dan kedua-dua pasukan sudah pasti akan mengubah skuad masing-masing," kata Zeise.