Pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, mahu barisan pertahanan mengekalkan fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah yang mampu menjejaskan moral mereka apabila berdepan Singapura dalam aksi persahabatan malam ini.

Kim Swee menyedari skuad kendalian V Sundramoorthy kali ini mempunyai kelebihan daripada segi pengalaman.

Seramai13 pemain Singapura merupakan tonggak Lions XII yang muncul juara Liga Super 2013.

Satu kaedah untuk mengatasi kelebihan pengalaman lawan adalah dengan mengelak daripada melakukan kesilapan mudah yang mampu mengundang padah.

"Saya berharap kombinasi terbaru ini mampu untuk bertahan sebaik mungkin. Bagi saya, bukan mudah untuk beraksi sebagai satu unit dalam masa yang singkat, terutamanya di bahagian pertahanan, kerana mereka memerlukan masa.

"Apa yang penting, mereka tidak melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang akan mengurangkan keyakinan mereka sendiri. Saya berharap perkara tersebut dapat dielakkan," katanya.

Kim Swee juga mahu pemain-pemain yang baru kali pertama bersama barisan negara, menyerlahkan aksi terbaik dan meraih pegalaman sebaik mungkin.

Ia penting bagi menambah keyakinan diri apabila bersaing dalam Piala Suzuki AFFbulan depan.

"Pemain-pemain yang beraksi untuk kali pertama atau baru bersama skuad kebangsaan, saya berharap mereka menggunakan kesempatan ini dengan sebaik-baiknya jika diberi peluang, untuk mendapatkan seberapa banyak pengalaman.

"Seperti apa yang telah saya katakan, kombinasi tidak akan berlaku dalam sekelip mata, ia memerlukan jangka masa yang panjang. Jadi, pada masa yang sama, kami merencanakan lebih banyak perlawanan persahabatan."