Ketua jurulatih pasukan bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, kekal dalam dilema untuk mengumumkan senarai akhir pemain yang akan menjalani kem latihan di Mokpo, Korea Selatan hujung minggu ini.

Ia susulan keperluan menganalisis perlawanan persahabatan pasukannya menentang Melaka yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Shah Alam, petang tadi.

Pendekatan berbeza diambil Kim Swee dalam separuh masa pertama dan kedua untuk mencongak kesebelasan terbaik.

"Saya masih lagi perlu berbincang dan mengenal pasti siapa calon yang akan digugurkan dengan teliti.

"Kami mempunyai banyak perlawanan di Korea Selatan mahupun di China, di mana saya masih lagi mahu melihat beberapa kombinasi, terutama di bahagian tengah dan pertahanan," ujarnya selepas perlawanan itu.

Dalam aksi persahabatan Sabtu lalu, mereka melakar kemenangan besar 8-2 berdepan PJ Rangers.

Skuad muda negara itu akan terbang ke Korea Selatan, Ahad ini, untuk menentang beberapa pasukan universiti sepanjang berada di sana selama 14 hari.

Mereka kemudian akan terus ke Nanjing, China bagi bagi kem latihan pusat terakhir selama lapan hari sehingga 6 Januari depan, dengan satu perlawanan persahabatan antarabangsa diatur pada 5 Januari.

Selepas itu, skuad negara akan tiba di Changshu, China pada 6 Januari untuk menghadapi pusingan akhir Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2018, bermula 10 Januari depan.

Skuad negara akan mengharungi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.