Bekas pemain Real Madrid, Alvaro Arbeloa, menyifatkan khidmat Gareth Bale masih diperlukan pasukannya dan dia cuma harus diberikan perhatian susulan masalah kecederaan yang dialami sebelum ini.

Masa depan pemain Wales itu menjadi sebutan setelah dihimpit masalah kecederaan panjang pada musim ini hingga menimbulkan laporan bahawa Los Blancos bersedia untuk melepaskannya.

Dia mengalami kecederaan betis sebanyak dua kali musim ini, membuatkan Isco menjadi pilihan utama untuk diturunkan ketika aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) minggu lalu, namun dia diletakkan dalam kesebelasan utama ketika Madrid menundukkan Real Betis 5-3, hujung minggu lalu.

"Saya tidak akan menjual Bale. Saya tidak rasa masanya di Santiago Bernabeu telah tamat.

"Jika saya berada di tempat Zidane, saya akan cuba memastikan semua orang berada dalam keadaan terbaik.

"Saya akan menjaga Bale dan cuba mengembalikan sentuhan terbaiknya sebelum akhir musim kerana semua orang tahu dia berdepan masalah kecederaan," kata Arbeloa.

Manchester United muncul antara pasukan yang dikaitkan untuk cuba mendapatkan khidmat bekas pemain Spurs itu selepas melengkapkan perpindahan dari White Hart Lane ke Madrid pada 2013.