Sami Khedira terlepas perlawanan persahabatan di antara Jerman dan England tetapi menegaskan dia berasa lebih cergas berbanding sebelum ini dan bersedia untuk mengetuai juara dunia itu menentang Azerbaijan, awal pagi esok.

Pemain tengah Juventus itu tidak beraksi ketika bertemu Three Lions di Dortmund sebagai langkah berjaga-jaga, dan menyaksikan Lukas Podolski menjaringkan gol tunggal perlawanan dalam penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa.

Jerman berdepan Azerbaijan dalam Kumpulan C kelayakan Piala Dunia 2018 di Baku dengan harapan untuk mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus kelima berturut-turut.

Jurulatih, Joachim Low, mengesahkan pemain berusia 29 tahun itu akan menjadi kapten pasukan dan Khedira -- yang mengalami masalah ligamen krusiat pada awal kerjayanya -- bersemangat untuk berjuang dan menegaskan dia berada dalam keadaan yang hebat.

"Sukar bagi saya untuk mengatakan bahawa ini adalah tempoh terbaik dalam kerjaya saya, daripada aspek keadaan saya," katanya dalam sidang media.

"Ada juga masa lain berlaku perkara baik.

"Apabila anda sudah tua -- dan saya akan menjadi 30 dalam beberapa minggu ini -- anda benar-benar menjaga badan anda. Saya rasa lebih cergas daripada apa yang pernah saya rasa sebelum ini, saya telah menemui cara yang sempurna untuk mengekalkan prestasi.

"Saya mempunyai tempat dalam pasukan ini dan saya berasa sangat gembira. Saya dan kakitangan kejurulatihan berkomunikasi di antara satu sama lain dengan baik."

Dan ketua pasukan itu memberi amaran kepada lawan awal pagi nant, dengan berkata bahawa Jerman begitu lapar untuk kejayaan berbanding sebelum ini selepas tersingkir daripada peringkat separuh akhir Kejohanan Eropah tahun lepas.

"Kami memenangi Piala Dunia pada 2014 dan kemudian tiga pemain penting bersara," katanya. "Saya percaya pasukan kejurulatihan juga melihat tepat pada masanya bahawa terdapat sedikit jurang di sana.

"Anda boleh melihat bahawa ia tidak bergerak baik dan 95 peratus usaha tidak mencukupi.

"Sekarang anda boleh rasakan (Jerman) lapar sekali lagi selepas kami keluar daripada Euro di peringkat separuh akhir.

"Jika anda memberikan segala-galanya dari awal dan melayan pihak lawan dengan serius, maka ia adalah lebih seronok apabila anda meraih kemenangan. Jurulatih memberitahu kami bahawa tidak ada cara lain untuk melakukannya."