Sami Khedira telah diberikan lampu hijau untuk kembali menyertai sesi latihan bersama Juventus selepas mengalami masalah jantung sebelum ini.

Bulan lalu, Khedira terpaksa dikeluarkan daripada skuad Liga Juara-Juara Eropah untuk aksi pertama pusingan 16 berdepan Atletico Madrid setelah degupan jantungnya tidak berada di tahap kebiasaan.

Pemain Jerman itu dijangka tidak dapat diturunkan sekitar sebulan, namun Juve kini mengesahkan dia telah bebas daripada sebarang masalah dan boleh kembali berlatih.

"Khedira yang melalui proses 'electrophysiological' dan pengablatan terhadap sistem jantung pada 20 Februari lalu, kini telah melepasi ujian kardiologi. Dia kini boleh meneruskan latihan dan aktiviti sukan secara normal," kata wakil Juventus.

Juve bakal menyambung aksi Serie A menentang Empoli, 30 Mac ini, selepas saingan antarabangsa berakhir.