Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berpandangan Tan Cheng Hoe sebagai invididu yang sesuai bagi menerajui skuad bola sepak senior kebangsaan.

Cheng Hoe menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi kedudukan berkenaan susulan perletakan jawatan jurulatih kelahiran Portugal, Nelo Vingada, minggu lalu.

Sepanjang di bawah kendalian Vingada, skuad kebangsaan hanya mampu mencatat satu keputusan seri daripada tujuh perlawanan.

Khairy berharap Cheng Hoe dapat diberikan masa untuk mempamerkan kemampuan selaku pengendali di pentas antarabangsa selepas menjadi pembantu kepada Vingada serta Datuk K. Rajagobal sebelum ini.

"Pelantikan Cheng Hoe adalah keputusan yang tepat. Walaupun FAM telah berusaha mendapatkan pengendali yang berpengalaman, iaitu Vingada, namun beliau gagal meraih keputusan yang positif buat skuad kebangsaan," kata Khairy.

"Kami perlu memberikan peluang kepada Cheng Hoe untuk membuktikan kebolehannya dengan beberapa kejohanan pada tahun depan," ujarnya.