Khairul Azhan Khalid kini semakin membuktikan dia sudah bersedia memainkan peranan sebagai penjaga gol utama negara berlandaskan aksi yang dipamerkan ketika berdepan Filipina, malam tadi.

Aksi berdepan Filipina menyaksikan pihak lawan memberi tekanan awal kepada pertahanan negara.

Bagaimanapun, Khairul Azhan tetap tenang selaku benteng akhir skuad negara dan kerap menafikan percubaan jenteran serangan Filipina.

"Kami mahukan kemenangan tetapi semua pemain telah beraksi dengan baik hari ini.

"Apapun, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk berada di gawang," kata pemain berusia 27 tahun itu.

Penjaga gol Selangor ini turut berterima kasih kepada rakan sepasukan di posisi pertahanan yang beraksi cemerlang, sekaligus meringkan bebannya.

Dia mengakui persefahaman baik dengan rakan di benteng turut memainkan peranan penting memastikan gawang tidak dibolosi.

"Semua memainkan peranan penting dalam perlawanan ini, Alhamdulilah kami perolehi keputusan seri," tambahnya.