Jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong, sedang dalam pertimbangan untuk merombak kembali senarai pemain yang berada dalam pasukannya menjelang Kejohanan Futsal AFF yang ditunda ke Januari 2017.

Chun Yong baru sahaja pulang dari Bangkok apabila membawa pasukan Milo Malaysia meraih gelaran juara dengan menundukkan beberapa kelab ternama Thailand seperti Bangkok FC 12-1 dan Chonburi FC 3-1.

Justeru, Chun Yong amat tertarik dengan beberapa pemain dalam skuad itu dan berhasrat untuk merombak pasukan futsal negara untuk memberi ruang buat pemain dari pasukan Milo Malaysia.

Ia dilihat satu keputusan berisiko, memandangkan rata-rata pemain yang berada dalam pasukan Milo Malaysia adalah di bawah umur 16 tahun.

"Mereka muncul juara dan tidak disangka-sangka para pemain ini mempersembahkan aksi bertenaga.

"Kita boleh lihat secara fizikalnya dari aspek mengekang lawan dan kepantasan melakukan serangan balas adalah lebih baik, biarpun kami berdepan dengan kekangan mempersiapkan formasi dan taktikal pasukan.

"Mereka telah mempamerkan satu persembahan yang hebat," katanya.

Daripada 25 pemain yang sedang menjalani latihan bersama skuad negara, hanya 14 orang sahaja akan dibawa ke Bangkok, Januari depan.

Hanya berbaki lebih kurang sebulan sebelum kejohanan bermula, Chun Yong sedang dalam perancangan untuk beberapa perlawanan persahabatan, meskipun beberapa negara jiran agak keberatan untuk menerima pelawaan Malaysia.

"Kita akan cuba mengadakan perlawanan persahabatan tempatan, mungkin berdepan pasukan negeri atau kelab yang mewakili Liga Futsal Kebangsaan (LFK).

"Kemungkinan besar kami akan turut bermain dalam aksi pemanas badan di Bangkok, seminggu sebelum kejohanan bermula. Tapi itu belum dapat disahkan lagi, tapi mungkin tiga perlawanan akan diadakan dengan menentang kelab dan pasukan kebangsaan Thailand."