Zlatan Ibrahimovic berikrar dia akan menampilkan semangat "viking" dan bersedia bermain dalam cuaca salji ketika berdepan Minnesota United dalam play-off saingan Liga Bolasepak Amerika Syarikat (MLS).

Ibrahimovic sering membuat kenyataan berani sepanjang kerjayanya, termasuk merujuk dirinya sebagai sang singa, dan dia tetap yakin meskipun bakal berdepan keadaan yang rumit di Allianz Field, pagi Isnin ini.

LA Galaxy akan mengharungi peringkat kalah mati itu dalam melakukan perjalanan sukar apabila berdepan pasukan penuh kejutan itu dengan perlawanan dijangka berlangsung dalam cuaca salji ketika negara itu menghampiri musim sejuk tahun ini.

Bintang Galaxy yang lahir di Sweden itu tidak menganggap cuaca buruk bakal mengundang masalah kepadanya atau LA.

"Saya berasal dari Sweden, saya dilahirkan dalam salji," kata pemain berusia 38 tahun itu dalam satu temu bual yang disiarkan di Twitter Galaxy.

"Dalam keadaan bersalji, saya adalah seorang 'viking' manakala dalam cuaca hangat, saya adalah singa. Kami akan menyesuaikan diri dengan setiap keadaan yang ada."

Ibrahimovic telah menyumbang 30 gol dalam 29 perlawanan sepanjang 2019 untuk mengetuai LA ke perlawanan play-off selepas kegagalan dalam musim pertama tahun lalu berikutan kekalahan kepada Houston Dynamo.