Penolong jurulatih Pulau Pinang, Darren Reed, menegaskan perancangan pasukan Pulau Mutiara itu tidak lari daripada apa yang telah dirangka pengendali, Ashley Westwood, walaupun tidak akan bersama dengan pasukan dalam aksi berdepan Sarawak esok.

Tanpa Westwood di kawasan teknikal gara-gara penggantungan empat perlawanan, Reed menegaskan percaturan mereka tidak terganggu dengan meletakkan Sarawak sebagai sasaran pertama Pulau Pinang untuk mengutip tiga mata.

"Dia (Ashley) telah memberitahu kami apa yang perlu dilakukan ketika sesi latihan dan pemain juga telah dimaklumkan tugas masing-masing," ujarnya.

Dibelenggu dengan kesukaran mendapat mata di samping masih gagal merekodkan sebarang jaringan setakat ini, Pulau Pinang bakal beraksi dalam tekanan kerana akan turun di hadapan penyokong sendiri.

Tegas Reed, pemain berada dalam keadaan baik, jadi mereka tiada alasan untuk terus kecewa.

"Kami tidak akan turun untuk mendapatkan satu mata, sebaliknya hanya kemenangan menjadi sasaran kami.

"Kami akan kekal positif dalam aksi berdepan Sarawak ini."