Penolong jurulatih kebangsaan, Hassan Sazali Waras, mengakui keutamaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah keselamatan pemain dan pegawai dalam kunjungan skuad negara ke Korea Utara untuk kelayakan Piala Asia 2019 di Pyongyang pada 28 Mac depan.

Katanya, FAM tidak mahu pemain negara dibebani kebimbangan terhadap keselamatan mereka apabila beraksi di negara itu.

"Kami sudah menghantar surat kepada pihak AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), Wisma Putra di Putrajaya dan juga persatuan bola sepak di Korea Utara bagi mengesahkan faktor keselamatan berhubung perlawanan di sana.

"Kami meminta nasihat daripada pihak Wisma Putra kerana mereka lebih arif tentang perhubungan diplomatik di antara dua negara ini."

Dalam perkembangan berkaitan, Hassan menyambut baik tindakan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang mengubah tarikh perlawanan liga pada 18 dan 19 Mac depan untuk membolehkan skuad kebangsaan berkumpul lebih awal.

"Itu satu perkara baik kerana kami dapat bersama pemain selama seminggu. Jadi kami dapat mengenal pasti keadaan pemain dan boleh menerapkan taktikal kepada pemain," katanya.

Jika berlaku perubahan, ia merupakan kali ketiga sejak 2012 aksi antarabangsa skuad bola sepak negara terpaksa diubah ke venue berkecuali atas sebab keselamatan.

Kelayakan Piala Asia 2019
Palestin lwn Malaysia (13 Nov 2015)
Venue asal : Stadium Antarabangsa Dura, Hebron
Venue berkecuali : Stadium Antarabangsa Amman, Jordan
Sebab : Faktor keselamatan kerana peperangan


Kelayakan Sukan Olimpik 2012
Syria lwn Malaysia (14 Mac 2012)
Venue berkecuali : Stadium Raja Abdullah, Jordan
Sebab : Faktor keselamatan kerana ketidakstabilan politik