Wakil LaLiga Global Network Malaysia, Giorgio Pompili Rossi, menganggap sistem kawalan ekonomi yang akan diterapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bermula tahun depan sebagai satu keperluan buat pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) untuk mengatasi masalah hutang.

Beliau menjelaskan sistem itu telah mula dilaksanakan dalam LaLiga sejak 2012, yang menyaksikan perubahan drastik dalam Liga Sepanyol itu, terutama dalam mengawal perbelanjaan sesebuah pasukan.

"Selepas itu, ia terserah kepada kelab.

"Jadi, kelab menerimanya dan menyesuaikan diri dengan struktur dalam organisasi itu untuk menjadikan ia berjaya.

"Kerana sudah pasti ia dua hala dan bukan hanya melibatkan LaLiga sahaja tetapi kelab juga perlu menyesuaikan diri dengan peraturan.

"Dan sekarang, jika anda tanya adakah ia satu kejayaan? Ya, benar," katanya.

MFL akan melaksanakan kaedah itu secara berperingkat.

Langkah pertama bermula dengan menerangkan implikasi peraturan kepada setiap pasukan selain faedah jangka panjang yang akan diperoleh.

Badan induk itu juga akan melaksanakan sepenuhnya sistem berkenaan berserta denda kepada pasukan yang gagal mengikuti peraturan.

Selain itu, kerjasama di antara LaLiga dan MFL itu merupakan inisiatif untuk liga utama Sepanyol itu lebih mendekati peminat bola sepak di Malaysia.

"Kami sedang cuba mencari jalan terbaik untuk berkomunikasi dengan peminat di Malaysia.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya mewakili keseluruhan bahagian, jadi ia satu usaha 360 darjah.

"Adakalanya ia melibatkan penyiaran dan adakalanya ia melibatkan penajaan.

"Namun, tujuan utamanya adalah untuk membawa LaLiga lebih dekat kepada peminat di Malaysia," tambahnya.