Diego Maradona memulakan karier selaku pengurus kelab Argentina, Gimnasia y Esgrima La Plata, dengan kekalahan 1-2 di tangan Racing Club.

Jurulatih berusia 58 tahun itu dilantik sebagai pengendali pasukan yang sedang begelut dalam saingan Superliga itu 5 September lalu selepas berehat seketika disebabkan faktor kesihatan.

Ia merupakan tugasan pertama legenda bola sepak Argentina itu di tanah airnya selepas meninggalkan pasukan kebangsaan negara itu (selaku ketua jurulatih) pada 2010 dan dia berjanji untuk menyelamatkan kempen Gimnasia sebaik sah memegang jawatan baru berkenaan.

Namun, juara bertahan, Racing, menambah kesulitan itu selepas merakamkan kemenangan tipis di Stadium Juan Carmelo Zerillo, awal pagi tadi.

Ariel Matias Garcia memadamkan jaringan awal Diego Gonzalez dalam babak pertama untuk memberikan harapan buat skuad kendalian Maradona itu untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata.

Namun, pelawat kembali di depan selepas Matias Zaracho menemui sasaran pada minit ke-54.

Walaupun kecewa, Maradona berasakan pasukannya sepatutnya memperoleh sekurang-kurangnya satu mata.

"Kami tidak berhenti untuk mencari gol penyamaan. Perkara seperti ini boleh berlaku dalam bola sepak dan anda perlu melupakannya.

"Hati saya terluka kerana saya tidak fikir juara Argentina itu lebih baik berbanding kami.

"Tiada sekali pun mereka lebih baik berbanding kami.

"Tetapi mereka ada pemain berkualiti untuk menguasai bola dan anda tidak mampu untuk mendapatkannya.

"Anda perlu berlari dua kali lebih kuat," katanya.

Gimnasia kini merekodkan lima kekalahan dan satu keputusan seri sepanjang enam perlawanan pertama musim ini dan kekal di tangga tercorot.