Philippe Coutinho tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila mencatat jaringan pertama buat Barcelona sejak berhijrah ke Sepanyol bulan lalu.

Coutinho tiba ke Camp Nou dari Liverpool menerusi perpindahan bernilai EUR160 juta, namun dilihat berdepan sedikit masalah untuk menyesuaikan diri dalam bulan pertamanya.

Bagaimanapun, dalam aksi separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol menentang Valencia, bintang Brazil itu masuk menggantikan Andre Gomes sebelum meledakkan jaringan pembukaan buat skuad kendalian Ernesto Valverde itu.

Ivan Rakitic menambah gol kedua ketika aksi lapan minit menuju wisel penamat, yang membolehkan Barcelona menang 2-0 dan 3-0 secara agregat untuk menempah tiket final bertemu Sevilla.

Ia membuatkan Coutinho sangat gembira selepas melakukan penampilan kelima buat pasukan.

"Ia hari yang sangat gembira. Saya sentiasa cuba menjaringkan gol tetapi dapat melakukannya pada hari ini dan apa yang penting, kami layak ke final.

"Hari ini menjadi detik yang sangat istimewa. Pertemuan dengan Sevilla pasti akan sukar tetapi kami mempunyai masa untuk mempersiapkan diri.

"Ia bakal menjadi final pertama buat saya dan perkara itu menjadikannya sangat istimewa," kata Coutinho.

Gol Rakitic hadir sembilan minit selepas aksi cemerlang penjaga gol, Jasper Cillessen, menafikan percubaan jarak dekat Jose Gaya, yang membuatkan pemain Belanda itu sangat teruja.

"Ia adalah sesuatu yang sangat hebat, menyelamatkan gawang daripada dibolosi.

"Sangat penting buat kami untuk menang dan jika kami dapat menjuarai kejohanan, ia bakal menjadi kejuaraan Piala Raja Sepanyol kali keempat berturut-turut."