Bintang Real Madrid, Isco, percaya tahap keyakinan tinggi yang dimilikinya adalah hasil kepercayaan pengendali Sepanyol, Julen Lopetegui, sehingga membolehkannya meraih hatrik pertama buat La Roja.

Isco kurang menjadi pilihan Zinedine Zidane di Santiago Bernabeu, namun menjadi antara tonggak utama skuad bimbingan Lopetegui dan kepercayaan itu dibalas dengan tiga jaringan ketika membantu Sepanyol membelasah Argentina 6-1, awal pagi tadi.

Walaupun mencatat lima gol dan lima bantuan jaringan, Isco sering diletakkan Zidane di bangku simpanan, membuatkan bekas pemain Malaga itu menggunakan sepenuhnya kesempatan di Wanda Metropolitano itu untuk meledakkan hatrik.

"Ia adalah kali pertama saya menjaringkan tiga gol dan tentunya saya gembira.

"Apabila anda tidak meraih peluang berterusan bersama kelab, aksi antarabangsa memberikan harapan.

"Di sini, saya menerima kepercayaan jurulatih, sesuatu yang mungkin saya terlepas ketika di Madrid. Saya mahu buktikan bahawa saya pemain yang bagus.

"Mungkin saya tidak tahu bagaimana untuk menambat keyakinan Zidane di Madrid tetapi Lopetegui sentiasa meyakini kemampuan saya," katanya.

Menjelang Piala Dunia yang bakal bermula kurang daripada tiga bulan lagi, Isco menyifatkan seluruh skuad Sepanyol berdepan ujian getir untuk mengulangi kejayaan pada 2010.

"Walaupun meriah keputusan yang baik pada hari ini tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah.

"Jangan lupa bahawa ini adalah aksi persediaan dan perjalanan masih jauh," tambahnya.