Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, beranggapan kenaikan sembilan anak tangga bagi ranking Malaysia sebagai petanda baik untuk kecemerlangan masa depan skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Badan induk dan jurulatih negara, Cheng Hoe, sedang menuai hasil selepas era baru FAM memasuki tahun kedua.

Ia petanda yang baik untuk melihat skuad negara berganjak dari tampuk lama.

Mereka kini berada di tangga ke-159 dunia dengan mengisi kedudukan 34 terbaik Asia selain berada di pot empat untuk undian kelayakan Piala Dunia 2022.

Ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan tetapi petanda yang cukup baik untuk kebangkitan skuad negara selepas ini.

"Berada dalam pot empat, ia memberikan peluang kepada Malaysia berdepan pasukan yang lebih selesa. Namun, kami tidak harus leka dan terus berusaha berdepan pusingan seterusnya," katanya.

Namun, di sebalik cerita manis itu, FAM terpaksa menerima habuan denda selepas pembakaran suar oleh penyokong negara selepas selesai aksi kedua Malaysia bertemu Timor Leste, Selasa lalu.

"Perkara ini sesuatu yang tidak boleh dielak tetapi FAM sudah bersedia dengan denda yang bakal diberikan dan kami akan memastikan kawalan yang lebih ketat bagi aksi-aksi seterusnya."