Pemain tengah import Kedah, Liridon Krasniqi, menganggap kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang cukup manis kerana turut disaksikan ibu-bapanya yang hadir memberi sokongan dalam aksi Liga Super di Stadium Darulaman, malam tadi.

Sebaik meledak gol ketiga Kedah pada minit ke-86, Liridon terus meluru ke atas pentas untuk meraikan jaringan berkenaan dengan bapanya, Ruzhdi, serta ibunya, Nazmija.

Seperti satu inspirasi, Liridon berasa gembira kerana mampu melakukan jaringan berkenaan, tambahan ia kali pertama bapanya hadir menyaksikan dia bermain selepas tiga musim bersama Kedah.

"Kami menampakkan kemajuan hampir setiap hari. Saya cukup gembira kerana dapat menjaringkan gol dan paling penting dapat mengutip tiga mata.

"Ini adalah hari istimewa bagi saya kerana buat kali pertama, bapa saya dapat melihat saya beraksi hari ini," katanya.

Selain itu, dia mengingatkan kemenangan itu menjadi penanda aras bahawa Kedah semakin serius menjadi pencabar utama Liga Super.

Nasib malang terus menimpa Pulau Pinang biarpun mempamerkan sedikit peningkatan berbanding aksi dengan Pahang sebelum ini.

Masalah sama dilihat tetap berulang buat pasukan itu apabila sering kali melepaskan gol kepada pihak lawan ketika permainan berbaki 20 minit.

"Ia berkait dengan fokus. Apabila mereka keletihan, fokus mereka mula hilang," kata penolong jurulatih Pulau Pinang, Darren Charles Read.

"Kami sebagai jurulatih hanya mampu berharap pemain mengekalkan mentaliti kuat hingga ke penghujung perlawanan."