Pemain beregu lelaki profesional negara, Nur Mohd Azriyn Ayub, kini stabil setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya malam tadi apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan secara tiba-tiba dan hampir meragut nyawanya.

Kejadian itu berlaku apabila Azriyn yang memandu dari Cheras menuju ke Jalan Loke Yew di ibu negara.

Ketika itu, dia yang baru sahaja tiba di tanah air setelah menamatkan cabaran dalam Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland, beberapa hari lalu mengakui badannya mengalami gangguan ritma harian ekoran perubahan waktu dan jadual penerbangan yang panjang.

Dia tidak dapat mengingati dengan jelas peristiwa tersebut tetapi bersyukur terselamat apabila hanya mengalami luka di bahagian kening kiri serta kecederaan di tangan kiri.

"Saya langsung tidak ingat apa-apa dan sebaik sedar, kereta sudah pun hancur.

"Saya mungkin tertidur ketika memandu," katanya di sebuah pusat perubatan di ibu kota, hari ini.

Insiden itu menuntut Azriyn dan rakan gandingannya, Mohamad Arif Abdul Latif, kini masih mempertimbangkan sama ada akan meneruskan perancangan untuk menyertai Terbuka India, Selasa depan.

Bagaimanapun, untuk Terbuka Malaysia yang bermula awal bulan depan, Azriyn menganggap tiada masalah untuknya kembali beraksi berikutan kecederaan yang dialami boleh pulih dalam masa terdekat.

"Sepatutnya saya perlu ke India, Isnin depan sebelum kami menyertai Terbuka Malaysia dan Singapura.

"Baru sebentar tadi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ada mempelawa kami untuk menyertai Kejohanan Asia dan kami perlu berikan jawapannya Jumaat ini," katanya lagi.