Seluruh dunia akan bertumpu kepada aksi Lionel Messi tatkala Argentina akan melakukan perhitungan dengan Nigeria untuk merebut slot kedua ke pusingan kedua Piala Dunia 2018 dari Kumpulan D, mengikut langkah Croatia.

Selepas mengharungi dua perlawanan di Russia, Argentina hanya mengutip satu mata setelah meraih keputusan seri 1-1 dengan Iceland sebelum dimalukan 3-0 oleh Croatia.

Situasi itu membuatkan La Albiceleste perlu menewaskan Nigeria dalam aksi di St Petersburg, awal Rabu ini, sambil berharap Iceland gagal mengatasi Croatia dalam satu lagi perlawanan.

Dalam masa sama, Messi yang dijangka beraksi dalam Piala Dunia terakhirnya, diharapkan mampu menjelmakan sentuhan ajaib bagi membantu pasukannya mengelakkan diri daripada episod hitam pada 2002 apabila mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

Presiden Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), Claudio Tapia, menegaskan pasukannya kini berada dalam keadaan terbaik walaupun wujud dakwaan bahawa terdapat segelintir pemain yang menolak untuk bekerjasama dengan pengendali, Jorge Sampaoli.

"Harus diingat bahawa barisan wartawan bertindak sebagai penghubung," kata Tapia.

"Mereka telah menyaksikan pemain-pemain dan barisan kejurulatihan menjalani latihan bersama-sama. Ia menjadi bukti bahawa segala dakwaan itu satu penipuan dan kami mengharapkan sokongan padu."

Buat Nigeria, keputusan seri sudah memadai untuk meneruskan kemaraan sekiranya Iceland gagal mengatasi Croatia tetapi pertahanan mereka, William Troost-Ekong, sedar bahawa kelibat Messi bakal menghadirkan ancaman besar buat pasukannya.

"Jika Messi bangkit, ia akan mencetuskan masalah tetapi kami akan berusaha keras untuk memastikan ia tidak berlaku," katanya.

"Ini bukan kali pertama kami berdepan pasukan yang memiliki barisan pemain yang bagus. Kami akan mempamerkan permainan sebenar kami dan tentunya kami berpeluang."