"Kami datang bukan untuk kalah," itu keazaman yang ditanam dalam jiwa pemain negara, termasuk penyerang prolifik, Syafiq Ahmad, untuk memastikan 'sumpahan' di bumi Hanoi dapat dielak skuad Harimau Malaya ketika berdepan Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/2023 malam esok.

Skuad negara kembali ke Stadium Nasional My Dinh dengan impian menggunung untuk melakar satu kejayaan manis.

Ini susulan kunjungan anak buah Tan Cheng Hoe tahun lalu diratapi dengan kekalahan membabitkan aksi peringkat kumpulan dan final kedua Piala AFF.

Enggan terus dipalit badi kekalahan di gelanggang keramat lawan, Syafiq mahu memastikan pasukannya kali ini tidak pulang dengan tangan kosong.

"Saya yakin dengan kemampuan Malaysia untuk meraih kemenangan. Kami datang ke Hanoi untuk menang. Malaysia telah tewas sebelum ini dan kali ini kami mahu mengubah keputusan itu dan meraih tiga mata," katanya.

Dalam tiga pertemuan menentang Vietnam tahun lalu, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) itu sekadar menjadi pemain simpanan skuad negara.

Tetapi kali ini, pemain kelahiran Sungai Ara, Pulau Pinang itu akan memainkan peranan besar selaku penggempur utama bagi misi merobek gawang lawan.

"Kami akan melakukan yang terbaik dan kemenangan amat diperlukan oleh Malaysia. Usaha setiap pemain dalam pasukan akan memainkan peranan penting," katanya.