Pengendali Vietnam, Park Hang-seo, gentar berdepan Malaysia apabila tetap mahu mempertaruhkan kudrat Doan Van Hau dan Nguyen Cong Phuong walaupun kedua-dua pemain itu bergelut dengan prestasi masing-masing.

Van Hau dan Cong Phuong sememangnya antara dua pemain yang mampu menjadi ancaman besar kepada skuad Harimau Malaya.

Ia berdasarkan status dua pemain terbabit yang berpangkalan di Eropah bersama kelab Belanda dan Belgium.

Begitupun, kedua-duanya itu tampak berdepan dengan masalah prestasi kerana kurang minit permainan bersama kelab masing-masing.

Malah, situasi terkini menyaksikan Van Hau selaku tonggak pertahanan berdepan masalah 'jet lag' kerana baru sahaja tiba dari Eropah.

"Saya tidak menafikan kedua-dua pemain itu kurang mendapat peluang beraksi bersama kelab masing-masing tetapi itu tidak bermakna saya akan mengetepikan mereka, sebaliknya pemain terbabit adalah sandaran utama pasukan ini untuk mendapatkan kemenangan berdepan Malaysia," kata Hang-seo.

Kegusaran pengendali dari Korea Selatan itu juga terserlah apabila mengakui Harimau Malaya melalui banyak perubahan positif dalam corak permainan yang dipersembahkan.

Ini juga termasuk kehadiran beberapa pemain berdarah campuran seperti Brendan Gan, Matthew Davies dan Corbin Ong.

"Pasukan lawan menunjukkan banyak peningkatan sejak mereka melakukan perubahan pemain, terutama apabila membawa masuk pemain berdarah campuran. Ia memberi impak berbeza kepada pasukan berkenaan dan kami harus berwaspada dengan situasi tersebut," tambahnya.