Gembira dalam tangisan.

Itu situasi menggambarkan nasib yang menimpa pemain posisi tengah kebangsaan, Brendan Gan, dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Selepas membantu Malaysia meraih kemenangan ke atas Thailand, Khamis lalu, dan ke atas Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi, perancang Perak itu bakal terlepas perlawanan kelayakan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai, Mac tahun depan selepas mengumpul satu kad kuning dalam setiap perlawanan itu.

Brendan, bagaimanapun, percaya ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe, pasti mempunyai pilihan terbaik untuk menggantikannya bagi perlawanan menentang UAE itu.

"Saya kecewa kerana saya benar-benar mahu beraksi menentang UAE kerana ia perlawanan sangat penting bagi kami tetapi saya mempunyai keyakinan penuh terhadap siapa sahaja yang dipilih untuk menggantikan saya dan melaksanakan tugas dengan baik.

"Pasukan ini adalah pasukan hebat dan saya tidak bimbang mengenai siapa yang akan mengambil tempat saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menentang Indonesia yang menyaksikan kemenangan selesa 2-0 hasil jaringan luar biasa pemain sayap negara, Muhammad Safawi Rasid, yang meledak gol pada minit ke-29 dan ke-72.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Brendan memuji rakan sepasukannya yang menunjukkan kesungguhan untuk memastikan kemenangan di hadapan 75,434 penyokong Harimau Malaya.

Dia turut mendedahkan bahawa kemenangan itu tidak mudah kerana lawan mereka itu berjuang bermati-matian dalam perlawanan itu.

"Kami mengumpul sembilan mata (daripada lima perlawanan) dan berada di kedudukan selesa (di tangga kedua) dalam jadual (Kumpulan G) buat masa ini dan saya berharap tahun depan, kami dapat meningkatkan kedudukan.

"Kami perlu positif terhadap kualiti (pemain) yang kami ada dan kami bukan pasukan kecil lagi, kami berkembang maju dan menjadi lebih baik di bawah jurulatih, Tan, dan pemain mula bertambah yakin.

"Apabila anda mempunyai keyakinan itu, itulah yang akan mendorong anda terus berusaha keras dan menjadi pasukan yang hebat”, kata pemain kelahiran Australia itu.

-- BERNAMA